logo BKS

logo BKS

Lagu tema usrah

BULETIN USRAH(BUS)





Mat Rempit. Apabila disebut nama itu pasti ada diantara kita membayangkan kegahan mereka di jalan raya. Kononnya merekalah raja di atas jalan.
Tetapi...
Sedarkah kita perbuatan ini hanyalah untuk mereka yang bangga dengan dosa-dosa mereka. Sedangkan perbuatan ini tidak lain tidak bukan hanyalah mendatangkan dosa, ditambah pula apabila kita berbangga-bangga dengannya. Perkara ini pasti akan mendatangkan kemurkaan Allah.
Malah bertambah teruk lagi apabila remaja-remaja ini melakukan maksiat dan kemungkaran yang lain. Misalnya seperti pengambilan dadah dan pil-pil khayal, berzina, meminum arak dan sebagainya. Perkara-perkara ini tidak hanya dilakukan oleh golongan pelumba-pelumba haram, malah dilakukan juga oleh remaja lain.
Jika dilihat pada remaja kita sekarang, mereka sudah tidak mempunyai perasaan malu lagi, dan tanpa segan silu lagi melakukan dosa dan maksiat secara terang-terangan, seolah-olah perkara itu tidak ada yang hendak dimalukan.
Setelah dibuat kajian dan soal selidik, didapati para remaja ini mengemukakan beberapa sebab mereka melakukan perbuatan yang dimurkai Allah.
Antaranya, hanyalah sekadar ingin mencari keseronokan semata-mata. Mereka melakukan seolah-olah tiada keseronokan yang lain yang boleh di cari yang tidak mendatangkan dosa. Bahkan dalam Islam ada cara untuk menghiburkan hati dengan cara yang diredhai Allah. Misalnya, bersukan juga boleh menjadi hiburan, asalkan kita menjaga aurat kita.
Selain itu, ada yang mengatakan mereka melakukan perbuatan tersebut kerana kekusutan fikiran dan hati yang tidak tenteram serta resah dan gelisah. Misalnya, ada remaja terutamanya dari kalangan pelajar institut pengajian tinggi mengambil dadah bertujuan untuk mengulangkaji pelajaran. Tetapi keburukannya adalah melebihi kebaikannya. Bagi para penuntut institut pengajian tinggi, mereka mengambil dadah apabila menjelangnya musim peperiksaan. Hal ini kerana, sebelum menjelang peperiksaan,ketika waktu mengulangkaji pelajaran masih lagi ada, mereka sibuk berfoya-foya dan membuang masa tidak tentu arah.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang membawa maksud : “Yang menyebabkan timbulnya huru-hara dalam hati seseorang ialah kerana dosa-dosa yang dilakukannya.”
( H.R. Muslim)
Remaja yang bermasalah ini tidak mahu mengikuti jalan yang lurus. Seolah-olah mereka tidak meyakini tentang perlunya manusia kepada agama dan kepercayaan kepada Tuhan. Ketahuilah bahawa hanya dengan mengingati Allah sahaja jiwa kita akan menjadi tenang.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan menngingati Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
(Ar-Ra’d : 27)
Kemudian Allah berfirman lagi yang membawa maksud:
“Wahai orang-orang yang berima, berzikirlah dengan menyebut nama Tuhanmu, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya pagi Dan petang. Dialah yang memberikan rahmat kepadamu dan malaikatNya (memohon ampun untukmu) supaya dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang) Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.”
(Al-Ahzab: 41-43)
0 Responses